Kebaikan Kurma dalam Islam

March 5, 2021

Rasulullah SAW sangat suka makan kurma. Saidina A’ishah RA berkata pada suatu ketika rumah mereka tidak memasak makanan selama dua bulan, tetapi mereka hanya makan kurma dan minum air sehingga pada suatu hari Rasulullah SAW mengatakan pentingnya mempunyai kurma dalam rumah. Saiyidina A’ishah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sebuah keluarga yang mempunyai kurma tidak akan lapar”. (Hadis, Sahih Muslim, 5078).

Seperti yang kita semua ketahui, Kurma antara makanan sunnah di dalam Islam dan mempunyai pelbagai kebaikan. Di bawah adalah faktor mengapa Kurma digalakkan ambil dari segi Islam:

1. Keperibadian

Dikatakan kurma dapat membentuk sifat penyabar, bersopan-santun dan cerdas pemikiran

Maksud hadis Rasulullah s.a.w. : “Berilah makan buah kurma kepada isteri-isteri kamu yang hamil, kerana sekiranya wanita hamil itu memakan buah kurma, nescaya anak yang bakal dilahirkan itu, menjadi anak yang penyabar, bersopan santun serta cerdas pemikirannya.

2. Keberkatan

Kurma adalah antara makanan yang disarankan untuk diambil keberkatan sewaktu kelahiran.

Diriwayatkan daripada Abu Musa r.a. katanya: “Anakku lahir, lalu aku membawanya kepada Nabi s.a.w. lalu baginda menamakannya dengan nama Ibrahim dan meletakkan pada lelangitnya dengan buah kurma.”

3. Menghindar Daripada Sihir

Ada hadith yang menyatakan bahawa mengamalkan makan 7 biji kurma pada setiap pagi dapat dihindar daripada sihir dan racun. 

Manakala daripada riwayat Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW bersabda :

والعَجوةُ مِنَ الجَنَّةِ، وهي شِفاءٌ مِنَ السُّمِّ

Maksudnya : “Kurma Ajwah itu berasal daripada syurga, dan ia merupakan penawar daripada racun.” [HR Ahmad (8037), al-Tirmizi (2066) dan Ibnu Majah (3455). Ahmad Syakir menyatakan bahawa sanadnya sahih]

Boleh baca selanjutnya di muftiwp.gov.my

Manfaat Kurma Dalam Kehidupan Seharian

1. Makanan Yang Sihat

Dengan serat dan segala anti-oksidan di dalam kurma, ia membuatkan kurma terkandung dalam pemakanan yang sihat. Amalkan pemakanan kurma dalam diet seharian untuk kesihatan yang baik. Kurma juga merupakan bahan yang sangat sesuai sebagai penambah perasa kepada makanan-makan sihat yang lain seperti oat, susu dan banyak lagi.

2. Pemanis Semulajadi

Kurma sangat terkenal dengan kemanisannya yang mampu mengalahkan manis gula. Namun begitu, manis buah kurma tetap merupakan pilihan yang lebih sihat dibandingkan dengan gula. Sebab itu kurma merupakan antara pemanis pertama yang digalakkan untuk bayi.

3. Penambah Tenaga

Ini antara sebab utama mengapa kurma sangat popular di bulan puasa dan mengapa kita digalakan bersahur dan berbuka dengan kurma walaupun sebiji. Kurma dapat memberikan tenaga untuk sepanjang hari walaupun hanya dengan memakan sebiji kurma.

Disunatkan berbuka dengan kurma kerana orang yang berpuasa tidak makan selama 12 jam. Kurma menyumbang tenaga serta-merta kepada si pemakan dan ini memudahkan seseorang beribadat dan menunaikan sembahyang maghrib atau tarawih. Apabila tubuh berasa segar dan bertenaga ia menghalang kita makan berlebihan atau mengikut nafsu. Kadangkala waktu berbuka kita makan terlalu banyak, tetapi masih letih dan tidak bertenaga. Sebabnya makanan yang diambil kebanyakan mengandungi karbohidrat, tanpa tenaga serta-merta menjadi penyebab selesai makan, mata pun mengantuk.

4. Mudah Dijadikan Makanan Harian

Memakan kurma adalah sangat mudah. Dengan hanya membuang bijinya sahaja, kurma sudah boleh dimakan begitu sahaja. Namun, ada juga sesetengah orang yang tidak boleh makan kurma begitu sahaja. Oleh itu, kurma boleh juga digunakan untuk dicampur dengan makanan yang lain untuk dijadikan susu kurma, kek kurma, jem kurma, kuih kurma dan banyak lagi jenis makanan.

Kajian saintifik membuktikan bahawa sebahagian besar kandungan kurma adalah gula iaitu antara 50 dan 75%. Gula ringkas dalam kurma termasuk glukosa, fruktosa, mannosa, maltosa, rhaminosa, dan sukrosa yang mudah digunakan untuk penjanaan tenaga segera dalam tubuh manusia. Kandungan gula dalam kurma bergantung kepada jenis kurma dan kematangan, tetapi umumnya lebih tinggi daripada delima dan nenas. Oleh itu, penyerapan gula kurma dalam tubuh manusia sangat cepat antara 30 dan 45 minit berbanding nasi yang memerlukan lebih kurang 4 jam untuk dicernakan. Justeru, berbuka puasa dengan kurma dapat memberi tenaga segera kepada tubuh manusia di samping dapat mencegah keletihan yang bersangatan.

Comments 0

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *