Kurma Makanan Sunnah

March 5, 2021

Pengertian makanan sunnah dapat difahami setelah dijelaskan pengertian sunnah terlebih dahulu.

Sunnah mempunyai beberapa pengertian:

1.  Sunnah menurut ulamak hadis dan sirah  ialah apa yang diriwayatkan atau diceritakan tentang nabi SAW sama ada perkataan atau perbuatan atau pengakuan atau keadaan fizikal atau akhlaq baginda sama ada sebelum sebelum menjadi rasul atau selepas menjadi rasul.

2.  Sunnah menurut ulamak usul fiqh pula ialah apa yang datang dari nabi SAW sama ada perkataan atau perbuatan atau pengakuan.

Dari dua definisi di atas, sunnah menurut ulamak hadis adalah lebih luas pengertiannya dari sunnah menurut ulamak usul fiqh. Definisi sunnah menurut  ulamak hadis sunnah merangkumi perbuatan, perkataan, pengakuan, kejadian fizikal, akhlaq baginda SAW dan peristiwa yang berkaitan baginda SAW (sirah).

Dari kenyataan di atas, makanan yang dimakan oleh nabi SAW dinamakan makanan sunnah menurut ulamak hadis. Tetapi menurut ulamak usul fiqh makanan yang baginda SAW tidak makan, tidak dinamakan makanan sunnah bahkan sunnahnya ialah cara baginda memakan makanan.

Buah kurma disebut di dalam Al-Quran sebanyak 23 kali.

Firman Allah dalam surah Maryam, ayat 25-26 yang maksudnya:

“Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak. Maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan. Kemudian kalau engkau melihat seseorang manusia, maka katakanlah: Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana (Allah) Ar-Rahman; (setelah aku menyatakan yang demikian) maka aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun dari kalangan manusia pada hari ini”.

Ayat-ayat di atas menceritakan bagaimana Maryam AS mengalami keadaan yang sakit dan cemas sekitar ingin melahirkan Nabi Isa AS dan diberikan anugerah buah tamar. Buah tamar juga kerap disebut dalam kitab kitab suci yang terdahulu dan antara makanan yang diberi keutamaan di rantau timur tengah dan mediterranean.

Comments 0

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *